Senin, 05 Juli 2010

Tauliah Dan Kelayakkan Agama, Dua Perkara Yang Sama


Tak putus-putus, bertali arus. Seperti dirancang, tapi tak perlulah kita buat andaian dan pesepsi rambang yang kita sendiri tak tahu hujung pangkalnya.   Kata Dr Abu Hassan, mereka yang tolak persepsi adalah primitif. Saya kurang setuju. Surah alhujurat ayat 6 ada menegaskan, setiap berita mesti dipastikan kebenaran sebelum mempercayai atau menolak.
Sebenarnya isu berkenaan tauliah di Selangor ni dah lama. Saya sendiripun tak pernah ada tauliah. Hanya diambil maklumat dan latarbelakang pendidikan.  Kemudiannya tak pernah dipanggil temuduga atau diambil apa-apa tindakan. Dah 11 tahun mengajar di masjid dan surau di Selangor. Setakat yang saya tahu ia dibekukan, tapi  ada juga yang dapat. Tak tahu yang mana satu betul.
Semenjak Pakatan mengambil alih tampok Kerajaan Selangor, di bawah Dato HJ Hassan Ali, tauliah mula dibuka balik. Namun saya masih belum memohon tauliah sekalipun diminta berbuat demikain. Tidak bermakna saya tak suka, borangnya dah  ambil beberapakali, tapi masalahnya tak juga hantar.  
Saya percaya, usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri memastikan setiap penceramah supaya ada tauliah, bertujuan bagi memudahkan ‘ustaz-ustaz’ berceramah di masjid atau surau tanpa ada sekatan atau halangan di masa-masa akan datang.   Namun perlu diingatkan bahawa mungkin senjata ini akan termakan diri sendiri kerana tidak mustahil jika Umno mengambil alih semula kerajaan Selangor, tindakan sebaliknya akan diambil. Ditarik balik tauliah dan diharamkan terus. Siapa yang tak tahu tindakan Umno bersifat revenge and no humanitarian.
Di zaman Umno dulu, sekalipun mereka ambil kisah, tapi tak semua diambil tindakan. Mereka takut-takut juga nak ambil tindakan. Malah ‘ustaz-ustaz ’ terus bebas. Hanya segelintir saja yang ‘kena’. Itu kerana ada ‘ustaz’ yang hentam Jais.
Bagi saya, tauliah dan kelayakkan adalah dua perkara yang sama. Mana-mana ustaz yang sudah mempunyai kelayakkan seperti mengajar di universiti, dikolej, sekalipun disekolah, mereka sebenarnya dah ada tauliah. Kelayakkan yang mereka ada itu sudah dikira tauliah. Universiti, kolej dan sekolah telah mengiktiraf dan memberi tauliah kepada mereka. Mereka sudah ditemuduga oleh mereka dari kalangan ahli profesional.  Memadai diambil latarbelakang sebagai rekod di jabatan. Sekurang-kurangnya ada maklumat pengajar bagi memudahkan tindakan susulan jika ada aduan dan sebagainya. Tauliah sudah menjadi senjata politik.   Malah tauliah bukannya menjadi isu pokok. Isunya ialah kelayakkan yang ada pada seseorang guru agama. Di zaman Umno, ia diberi sewenang-wenangnya. Bukan diambil kira sangat layak atau tidak layak. Ada yang tak layakpun, diberi tauliah. Malah sesetengah temuduga ditanya Umno dan tidak Umno.
Sepatutnya tauliah hanya diwajibkan kepada mereka yang tiada kelayakkan khusus seperti mereka yang  belajar di pondok-pondok termasuklah di Selatan Thai, Indonesia, dan Malaysia. Begitu juga ada mereka yang belajar di Makkah, Mesir,India,Pakistan dan tempat-tempat lain yang tiada sijil. Hanya belajar secara persendirian. Termasuk juga nak jadi penceramah bebas.  Mereka banyak ilmu, tapi sijil aje yang tak ada. Maka bagaimana harus mereka mengajar sedangkan tiada bukti yang menyatakan tahap keilmuan mereka melainkan perlu mereka itu ditemuduga dan diberi tauliyah. Bagi mereka yang dah ada sijil terutama dari universiti –universiti terkemuka dan sudah ada tempat mengajar dan kerja yang diiktiraf, tak perlulah ditauliah lagi.
Pernah satu ketika, tahun 2000, saya disoal siasat polis, masa bertugas sebagai pegawai di salah sebuah masjid di USJ. Antara soalan yang ditanya ketika itu ialah siapa yang benarkan Hassan Ali memberi ceramah di masjid sedangkan tak ada tauliah. Sebenarnya masa tu, Hassan Ali baru masuk politik. Saya jawab dalam bertahan, perlukah ada tauliah Hassan Ali dan rakan-rakan yang lain yang mengajar di universiti bertaraf profesional dan di mana-mana permis yang diiktiraf kerajaan , malah beliau hanya memberi ceramah motivasi dan bukan agama?.  Jawap ketua mereka, itu bukan menjadi persoalan, persoalannya ialah itu adalah undang-undang Jais dan ia berlaku di masjid. Jika zaman 'kerajaan Selangor dulu ' mempergunakan tauliah sebagai senjata untuk menyekat  menyampaikan  ilmu agama, maka mengapa di zaman 'kerajaan Selangor sekarang' dengan alasan yang sama untuk menghalang seseorang menyampaikan agama. Jika ada sesuatu yang tak kena, tiada lagikah cara yang lebih sesuai?.
Seperti kes Dr Asri, kebanyakakan masyarakat kenal beliau. Saya bukan peminatnya, tetapi ada juga jarang-jarang mengikuti kuliah yang di sampaikan oleh beliau terutama di Oasis, termasuk juga tulisannya di akhbar-akhbar. Sepanjang pengamatan saya, saya dapati pendapatnya disusuli dengan dalil dan nas sekalipun agak tegas dan baru. Kadang-kadang rasa juga tidak bersetuju dengan pendapatnya. Kadang-kadang agak tidak sesuai dengan realiti masyarakat Malaysia. Namun tidak bermakna beliau salah. Pernah satu ketika saya bertanya dengan salah seorang pengajar di Akademi Islam UM, tentang amalan masyarakat Islam Malaysia. Katanya susah nak diperbetulkan, dah jadi darah daging mereka. Fahamlah saya, kita perlu berhikmah.
Saya tidak bermaksud mempertahankan Dr Asri kerana saya tahu ramai yang tidak bersetuju dengan beliau tetapi sekurang-kurangnya kita tidak menolak pendapat yang disusuli dengan dalil dan nas. Ramai juga rakan-rakan Jordan yang mengenali beliau mempertahankan beliau. Sekurang-kurang kita tidak menangkap orang agama tanpa usul periksa atau bertanya secara sopan dan beradab. Siapa yang akan berhujjah dengan beliau nanti di mahkamah jika alasannya sekadar tiada tauliah, melainkan beliau ajak masyarakat buat haji di rumah beliau dan mengajar akidah yang salah.
Kita seringkali memperkatakan tentang ahli sunnah wal jamaah. Adakah kita tahu apa yang dimaksudkan dengan ahli sunnah wal jamaah?. Siapakah yang dimaksudkan dengan ahli sunnah wal jamaah?. Sebenarnya mana-mana golongan yang beramal dengan al-Quran dan hadis nabi s.a.w dan ijtima ulama termasuk kias, adalah dari kalangan ahli sunnha wal jamaah kerana nabi s.a.w tidak pernah menamakan mana-mana golongan pun . Sama ada dari golongan Asyairah, Wahabi maupun Syiah. Kita tahu Imam Syafie adalah mazhab dalam amalan feqah, tetapi adakah kita tahu ikutan kita dalam mazhab akidah. Kita adalah pengikut Abu Musa Asyaari atau dikenali dengan Asyairah. Ada sedikit perbezaan antara kita Asyairah, Wahabi dan ada juga dari kalangan mazhab Syiah, yang hampir sama dengan kita Asyairah.  Yang menjadi perbalahan masyarakat hari ini ialah tentang amalan cabangan feqah. Bila mereka dapati perbezaan itu, lalu mereka terus membuat kesimpulan sesat.  Sedangkan perbezaan amalan cabangan feqah, ia tidak menjadi satu kesalahan, yang boleh sesat jika perbezaan akidah.  Namun bagi mereka yang merasakan cara mereka agak berbeza, jangan terlalu ghairah kerana banyak masyarakat yang belum faham. Gunakan kaedah yang lebih mendidik dan tidak terlalu terdedah kepada masyaraakat umum.  
Persoalannya sekarang ialah adakah di semua permis termasuk di rumah sekalipun perlu ada tauliah. Jika begitu maksudnya, bermakna sesiapa sahaja yang ingin mengajar di Selangor sekalipun di universiti, kolej dan sekolah yang dikira dalam Selangor terlebih dahulu perlu ditemuduga Jais dan selepas mendapat tauliah barulah mereka boleh memulakan tugas sebagai tenaga pengajar.       
Maka Jais dan pihak yang bertanggungjawab perlu menyemak semula maksud dan pengertian ‘tauliah’ supaya ia tidak menjadi salah faham dan disalah ertikan. Sejauh manakah keperluan tauliah?. Siapakah yang perlu mendapat tauliah?. Semua itu perlu diselesaikan seberapa segera agar senjata tidak memakan diri. Bukan Pas sahaja perlu kepada seminar membincang hala tujunya, Jais perlu juga kepada seminar bagi membincangkan hala tuju mereka.

Tidak ada komentar: