Sabtu, 28 Agustus 2010




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah: 

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam. 

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid. 

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid. 

4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.


Senin, 23 Agustus 2010

Wan Nik Wan Yussof   

Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
Topik tulisan kali ini adalah seperti tertera. Asal topik ini adalah cetusan bila membaca apa yang dicetak oleh Utusan Malaysia melalui versi Mingguan Malaysia ( 15 Ogos 2010) yang bertajuk “Jangan terlalu berani mencabar” hasil tulisan seorang pensyarah universiti di bawah kementerian dipimpin Datuk Ahmad Zahid. Kononnya pensyarah itu berkelulusan doktorat  dari UPM, tetapi pernyataan di dalam tulisannya didapati sudah menyindir PAS secara lorat. Apa yang dicetak Utusan Malaysia itu sudah dibaca seperti berikut:
“Kedudukan pribumi dan pandangan mereka diperhalusi. Maka tidak hairanlah lima perkara utama berkaitan Islam dan pribumi difokuskan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata. Walaupun Pas menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam. Kelebihan yang dinikmati oleh Islam dan pribumi inilah yang menimbulkan kedengkian dan rasa tidak puas orang ini dan ultra kiasu yang lain.”
Persoalannya, apakah kaitannya pensyarah Cina Muslim itu yang begitu syok memuji Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan negara itu, tiba-tiba menyindir PAS dengan tuduhan bersifat lorat, tidak articulate, mual, meloya dan berupa buah cakap peminum kopi pahit di kedai canggung? Kalaulah suka sangat memuji penggubal perlembagaan yang majoritinya ‘orang luar’ dilantik oleh penjajah Inggeris, janganlah pula meremeh dan mengaitkan secara aib parti PAS. Sedangkan PAS dari sudut sejarahnya turut menyumbang idea kepada penggubalan perlembagaan sehingga Islam diterjemah sebaiknya di dalam perlembagaan negara sekarang.
Sumbangan PAS kepada Suruhanjaya Reid
Realitinya, mungkin ramai tidak pernah membaca Memorandum PAS Kepada Suruhanjaya Reid bertarikh 14 Julai 1956 dan Ulasan PAS Terhadap PeƱyata Perlembagaan Reid bertarikh 2 Mei 1957. Kandungan daripada kedua-dua sumber itu dengan jelas menyentuh dan mengandungi lima syor yang antara lainnya agar dimasukkan asas kepentingan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama yang menjadi panduan hidup bernegara.  Justeru arkib sejarah ini adalah saksi mutlak peranan PAS sebagai pendesak pada masa itu sudah mengatasi Umno yang kononnya berjuang untuk merdeka, tetapi lena dengan ulikan penjajah dalam memperkasakan Melayu dan agama Islam.
Mungkin latar sejarah sebelum merdeka tiada dalam pengetahuan pensyarah tersebut yang memang dilahirkan oleh ibunya selepas negara merdeka.  Tambah memilukan lagi, pensyarah yang sudah mendapat ruang kolum di dalam akhbar suara Umno itu sebenarnya tidakpun pernah diiktiraf sebagai ‘orang Umno’ tetapi ayat-ayat membodek Umno sudah terang mengalahkan menteri Umno. Namun sayang sekali ia tidak pernahpun memahami konteks luhur akidah apa yang diucapkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dicetak oleh Omar Khalid yang sudah jadi orang kuat Umno lalu dibubuh tajuk  “Amanat Haji Hadi”. Ini kerana loratnya pensyarah itu menulis mengaitkan PAS dengan kata kunci ‘perlembagaan-Reid-kafir’ itu semacam bersumberkan amanat tersebut. Namun ternyata beliau tersalah faham konteks luhur akidah kandungan yang dikatakan ‘amanat’ itu.
Bagi berlaku adil saya perturunkan apa yang dicetak oleh Omar yang pernah mendapat untung hasil jualan kaset ceramah pemimpin PAS. Cetakan itu dibaca seperti berikut:
“Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
“Percayalah saudara-saudara sekelian,
“Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.”
Persoalan di sebalik ‘amanat’ tersebut, adakah dengannya layaklah PAS dituduh kerjanya suka mengkafir? Di manakah pula konteksnya, PAS menuduhPerlembagaan Reid ini perlembagaan kafir?  Mungkin persoalan yang terbuku bagi pensyarah itu ialah pada hujah menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku agama suku’. Jika inilah butiran yang disandarkan lalu mengatakan kerjanya suka mengkafir, nyata sekali ia adalah tindakan yang lorat dan mendahului Majlis Fatwa Kebangsaan yang sudahpun mengadakan perjumpaan dengan Tuan Guru Haji Hadi dalam soal ini pada 1984, dan kesediaan untuk berjumpa lagi telah diulangi balik tahun 2001. Apa yang nyata, majlis itu hanya berpandangan ‘amanat’ yang dicetak secara petikan tanpa bukti sumber asal itu sebagai bertentangan dengan Islam. Namun tiada fatwa mengenainya.
Salah faham
Atas asas itu, semasa berbahas di parlimen tahun 2001, Tuan Guru Haji Abdul Hadi sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk memperbetulkan salah faham terhadap ‘amanat’ yang dicetak itu. Namun, tiada penegasan rasmi pihak majlis tersebut. Apakah dengan kekaburan akademik sedemikian cukup adil (fair and fairness) untuk menghukum bahawa kerjanya (dirujuk kepada PAS) suka mengkafir?
Natijahnya akidah seorang Muslim apabila menegas dan mengamalkan serta menyakini bahawa di dalam Islam tidak ada sistem politik, atau menganggap urusan politik suku urusan agama suku, atau juga mengadakan peraturan yang melarang bercakap agama semasa berpolitik dan melarang bercakap politik semasa bercakap agama, lalu menyimpulkan bahawa politik suku agama suku; apakah akidah Muslim sedemikian luhur dengan akidah Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad? Sedangkan sunah baginda ketika berkuasa di Madinah adalah “pemerintahan negara itu hendaklah ditadbir dengan agama dan agama yang menjadi panduan bernegara.” Demikian pula, di manakah untuk menyesuaikan fekah bernegara (siasah syar’iyyah) “iqamatiddin wa siasatudunyabih” yang mengarahkan pemerintah menjalankan urusan memakmurkan agama dan menjadikan agama sebagai panduan mentadbir? Apa yang jelas, kesan daripada hujah pemimpin PAS bahawa tidak boleh memisah-misahkan politik dengan agama (tidak berlaku sama sekali atas nama Islam, politik suku agama suku), maka pemimpin negara dan  sebahagian besar penyokong Umno sudah menerimanya sebagai benar belaka! Justeru, apa yang diungkap mengenai politik suku agama suku, bukannya frasa yang sah untuk mengaitkan parti PAS sebagai kerjanya suka mengkafirkan orang.
Akhirnya, sayugia kebenaran itu tetap benar, maka mengenali perjuangan benar hanya atas petunjuk agama. Tiada kebenaran atas semata-mata kekuatan akal fikiran, melainkan rahmah dan karomah dari Allah jua mengatasi segala akal fikiran. Kembalinya kepada panduan al-Quran, bertunaslah akidah yang luhur bagi menilai mana yang benar dan mana yang palsu.




Sabtu, 21 Agustus 2010

Di sini, Dinar dan Dirham : Di sana, Dengki dan Dendam
Oleh: NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

" Kadang-kadang tingkah laku pemimpin UMNO ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan, itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh UMNO. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin UMNO ‘menunjuk cerdik’ memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’, akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru   apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin UMNO untuk menghentam langkah ini. Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan damai danpesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.
           
Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika UMNO / BN enggan memulakan, jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah matawang, ia hanyalah  pengenalan kepada sistembarter trade. Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!
           
Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistem wang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya, seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas. Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi

Realitinya matawang tidak berharga  melainkan  jika Kerajaan  memberi  nilai kepadanya.   Wang  kertas  RM1.00  bukan  bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya.   Ia  bernilai  RM1.00 kerana itulah nilai yang ditetapkan  oleh  Kerajaan.  Jika Kerajaan mencetak angka lima atau  sepuluh  maka   nilai  kertasnya  tidak  naik  kepada  RM5.00  atau  RM10.00.   Hanya  pengakuan  dan  jaminan  Kerajaan   yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.

Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirham ini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini  taraf pemikian seorang timbalan menteri, apa pula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.

Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkan dengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1, 082.00. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.00. Ertinya jika seseorang melabur sebanyak RM 108,200.00 dengan membeli seratus keping Kijang Emas pada tahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400.00. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiran ini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun sehingga merugikan. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbangan yang rugi RM535 Juta pada suku kedua tahun ini!

Di dalam al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duit itu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.

Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usaha kerajan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnis yang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai ’aparteid agama’. Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagi wanita? Itu aparteid apa namanya?

Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnya bertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baik dari anda, Insya-allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dan dendam!

Akhir kata, jika datanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadhan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud : ”Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.”
Salam Ramadhan.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 8 Ramadhan 1431H / 18 Ogos 2010M

Rabu, 18 Agustus 2010

Surat Terbuka Untuk Saudara Dr Ridhuan Tee
Mengapa di kaitkan suka mengkafir itu orang Pas?

Pertama kalinya saya membaca tulisan tuan dr Ridhuan Tee, saya akui tuan dr mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, begitu juga pembaca halaman tuan memuji-muji tuan dr, namun tidak semestinya tuan dr seorang yang alim. Kadang-kadang perlu kita sedar bahawa tidak semua perkara yang kita boleh sentuh dengan hanya memiliki satu taraf tertinggi dalam pendidikan, maka  lihatlah apa bidang yang diceburi.
Buktikan, siapakah pemimpin di kalangan ahli Pas yang suka mengkafirkan orang? Jika dulu, setakat ada pengikut Pas yang jahil melaungkan perkataan kafir, bukan menjadi satu trademark atau ukuran ke atas orang Pas kerana tidak semua orang Pas alim dan berilmu.  Jangan kerana setitk nila, habis susu sebelanga.  Itupun di zaman bila? Siapakah mereka?. Adakah apabila tok-tok guru menyuarakan sifat-sifat boleh menjadi kafir itu menjadi satu kesalahan? Jika rosak itikad akidah, rosak juga amalan dan jelas pengakuan menolak islam dan hukumnya, adakah dia tidak dikira kafir?, melainkan tiadalah seseorang itu ciri-ciri kekafiran. Seolah-olah semua ahli Pas kaki mengkafirkan orang. Kembalilah kepada fakta dan sejarah, surah al-Tawbah menjelaskan gambaran sebenar realiti manusia. Sindiran tuan dr seolah-olah ahli Pas hanya terdiri daripada kalangan orang yang suka mengkafir orang serta jahil dan tidak berilmu. Adakah hanya orang seperti tuan dr dikira sebagai berilmu dan berakademik lantaran memiliki pencapaian tertinggi dalam pendidikan?.
Sebenarnya, jauh dari apa yang tuan dr fikir dan faham. Benarlah ada yang kata tuan dr mungkin belajar dari orang umno atau fikiran sama dengan umno, boleh jadi menimba dari berita tv dan akhbar pro umno, bukan dari ahli Pas sendiri. Ahli Pas pula terdiri daripada berbagai latarbelakang, ada tok-tok guru, ulama-ulama, sarjana-sarjana, ustaz-ustaz, guru-guru, pakar-pakar dan sehingga serendah-rendah tahap pendidikan, tidak semua yang sangat faham dengan perjuang Islam Pas, sekadar ahli Pas, mungkin seperti tuan dr yang kurang faham. Jangan letakkan diri tuan dr berada di kalangan mereka yang suka menyebar fitnah, berhati-hati bila berada dilembah yang curang lagi bercerung. Seseorang itu bergantung atas agama  kawannya, maka lihatlah dengan siapa ia berkawan[Minhaj alQasidin,Ibn Qadamah].
Mengapa orang yang menggelarkan diri mereka sarjana dan intelek, bebas dan bertamaddun, bijak dan pandai hanya mengecam kesalahan Pas yang sedikit daripada menghentam sekeras-kerasnya tindakan umno selama-lamanya membenarkan kemungkaran bermaharaja lela lantaran menyalahkan rakyat yang tidak sedar diri, tetapi bukannya pemimpin umno yang sepatutnya sedar diri.  Jangan mudah tertipu di atas kepuraan mereka membina masjid-masjid, membantu orang susah, membenarkan forum dan pentas agama selagimana mereka itulah orangnya merosakkan agama dengan mencampur adukkan dengan perkara kemungkaran Allah. Sebenarnya tidak jauh bezanya dengan negara kafir barat, ada juga negara barat membenarkan alim agama berceramah asalkan tiada unsur menghentam mereka, Amerika baru saja mengumumkan pembinaan sebuah masjid bernilai jutaan ringgit di pembinaan semula pusat dagangan antarbangsa mereka, samalah di negara kita, sekiranya tuan dr sendiri menghentam umno dengan nada yang serupa, pasti tuan dr akan disekat dan dihalang. Mengapa cerdik pandai itu sendiri tidak turun bersama Pas dan membentuk serta membetulkan Pas dari dalam, kiranya merekalah orangnya yang mengutarakan idea bernas dan mempunyai pandangan yang jauh.    
Di bulan ramadan ini, bebaskan ia daripada anasir-anasir mengeji lantaran rasa sakit hati terhadap pandangan orang lain sehingga tidak secara sedar yang lain makan nangka, yang lain terkena getahnya. Wallahualam.